Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Thursday 5 May 2011

Tiada alasan tidak iktiraf Palestin negara berdaulat

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 5 Mei: Tiada alasan negara-negara Islam dan dunia untuk tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dengan permeterian muafakat antara Hamas dan Fatah kelmarin.
Sehubungan itu, Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) merakamkan ucapan tahniah di atas persefahaman yang telah dimeterai antara Hamas dan Fatah yang telah berlangsung dengan penuh rasa harapan di Kaherah kelmarin.
Bagi LA DPPP permeteraian tersebut adalah satu manifestasi permuafakatan persefahaman yang akan menguntungkan umat Islam Palestin dan antarabangsa kerana persengketaan yang berlaku sebelum ini antara Hamas dan Fatah hanya menguntungkan regim Zionis Isreal.
“Namun LA DPPP berharap, permuafakatan yang disepakati bersama kelmarin perlu diasaskan kepada keyakinan dan kepercayaan antara kedua-dua belah pihak yang sama-sama memperjungkan kemerdekaan Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel,” kata Pengerusinya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.
Katanya, permuafakatan bersejarah itu menjadi permulaan baru kepada perjuangan berteraskan iman dan kepentingan umat Islam


Namun apa yang paling penting, katanya, kepercayaan dan keyakinan baru ini adalah pengorbanan paling besar buat Hamas dan pejuang-pejuang Palestin yang lain yang telah membuang semua prasangka terhadap Fatah terutama dalam konteks hubungan diplomatiknya dengan Israel.
“Pada masa yang sama LA DPPP menggesa pemuafakatan ini dilaksanakan dengan suci hati tanpa campur tangan Israel dan pihak-pihak yang memperjuangkan kepentingannya secara unilateral,” katanya.
Justeru, ujarnya LA DPPP berharap negara umat Islam dan semua masyarakat madani umat Islam berjuang mempertahankan keutuhan pemuafakatan yang suci ini.
Malah secara jelas, tambahnya pemeterian pemuafakatan ini menjadi indikator kepada kejayaan revolusi menumbangkan rejim-rejim diktator Asia Barat.
LA DPPP juga, katanya menggesakan seluruh negara umat Islam dan dunia agar segera mengiktiraf kerajaan Palestin yang merangkumi Tebing Barat dan Gaza.
Menurutnya, setelah Hamas mengisytiharkan pemisahan kuasa antara Gaza dan Tebing Barat, dunia Islam yang takutkan Israel serta merta menarik sokongan kepada Kerajaan Hamas dan hanya mengiktiraf kerajaan Fatah di Tebing Barat.
“Namun dengan permeterian permuafakatan kelmarin, maka tiada alasan negara-negara Islam dan dunia untuk tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat,” ujarnya.
LA DPPP juga, katanya berharap satu pilihan raya baru dapat diadakan segera bagi memilih kerajaan supaya mandat yang baru dapat dizahirkan oleh rakyat bagi memimpin dan membawa suara sebenar rakyat Palestin.
“Harapan LA DPPP supaya pemimpin-pemimpin politik Palestin membuang semua kekusutan bagi membawa amanah rakyat ke arah menuju Palestin yang Islami, makmur dan berdaulat,” katanya.

No comments:

Post a Comment