Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Tuesday 25 October 2011

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan
Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan. Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang. Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF). “Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya. Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940. “Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi. Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta). Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009. “Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau. Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN. “Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau. Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment