Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Twitter Updates

There was an error in this gadget

Wednesday, 20 April 2011

SPR harus di'BERSIH'kan

Mohd Rashidi Hassan

Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang baru berlangsung minggu lepas memperlihatkan kepada kita betapa sistem demokrasi di Malaysia, masih ditahap yang mencurigakan.


Pertikaian terus kedengaran terhadap ketelusan dan kesahihan pengendalian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.


SPR memperlihatkan ianya tidak bebas dan masih lagi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional. Antara yang masih menjadi pertikaian ialah mengenai kebersihan senarai daftar pemilih, sistem undi Pos, had kempen parti-parti politik, penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan BN, rasuah kepada pengundi dan banyak lagi.


Pertikaian ini tidak akan berbangkit sama sekali jika pilihan raya dijalankan secara adil.


Sejak Dun dibubarkan, SPR berura-ura untuk mengehadkan tempoh berkempen hanya selama tujuh hari. Namun selepas dibantah dipanjangkan sedikit kempen untuk tempoh 10 hari.


Percubaan menghadkan tempoh kempen atau memendekkan tempoh kempen ini sebenarnya, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti yang memerintah.


Kedua, pada hari penamaan calon di Muara Tuang, calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, dengan jelas melakukan kesalahan pilihan raya iaitu tidak mengemukakan borang laporan kewangannya pada pilihan raya 2006.


Sepatutnya PAS menang percuma kerusi tersebut. SPR menunjukkan dengan jelas ia memihak kepada BN dengan mempergunakan kuasanya melengah-lengahkan pengumuman calon sehingga lebih satu jam dari tempoh masa yang ditetapkan.


Kelambatan pengumuman calon diambil kesempatan oleh pihak yang berpihak kepada BN untuk menyiapkan segera penyata kewangan tersebut.


Sepanjang kempen pilihan raya, media massa dipergunakan sepenuhnya, secara berleluasa untuk menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat, sedangkan ruang Pakatan Rakyat, hanya dipentas ceramah disusahkan.


Pemimpin tertinggi negara dibenarkan merasuah rakyat secara terbuka, rasuah pembinaan hospital, peruntukan masjid, pembinaan jambatan segera, bantuan untuk sekolah dan lebih ketara lagi didedahkan rasuah pembelian kertas undi secara terbuka.


Malah di hari kempen, wujud dakwaan secara terbuka pihak-pihak yang memakai tag nama SPR secara jelas dilihat mengajar pengundi, khususnya golongan tua untuk memangkah simbol dacing.


Di samping itu wujud pertikaian berkenaan borang 14 yang dikatakan enggan ditangani oleh pegawai SPR yang bertugas.


Keseluruhannya, kita mendapati sistem pilihan raya di negara kita masih meragukan. Banyak terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki bagi menjamin ketelusan dan keadilan.


Pakatan Rakyat menghadapi kesukaran kerana segala peruntukan perundangan yang ada dikuasa SPR boleh dipergunakan oleh BN kerana mereka tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri.


Pakatan Rakyat tidak mampu mengubah kebobrokan ini sendirian. Hanya ada dua cara untuk mengatasi masalah ini. Pertama, perjalanan pilihan raya mesti dipantau masyrakat antarabangsa, iaitu melalui badan bebas yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Kedua, dengan sokongan rakyat. Rakyat harus bangkit untuk menegur SPR. Hanya Perhimpunan BERSIH 2.0 sahaja yang mampu mengubah keadaan ini.


Pakatan Rakyat harus bertindak sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment