Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Wednesday 24 August 2011

PAS: Umno layan ulama macam ‘terompah kayu’


August 24, 2011
SHAH ALAM, 24 Ogos — Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno melayan ulama seperti “terompah kayu” dan tidak mengiktiraf, malah tidak meletakkan golongan itu di kedudukan terbaik dalam pentabiran negara.
Tegas Ketua Penerangan PAS (gambar) ini, ulama tidak akan dihormati dan disanjung jika ia tidak diiktiraf oleh mana-mana parti atau pentadbiran negara.
“Ulama perlu ada tanggungjawab dan pengiktirafan tapi kalau kita duduk dalam parti yang tidak iktiraf ulama dan tak terima nasihat ulama, nak buat apa... ulama adalah pemandu kepada pemimpin supaya pemimpin ikut nasihat ulama berlandaskan hukum Islam.
“Itu yang jadi (dalam Umno), bila perlu pakai (ulama), kalau tak perlu tak pakai . . . itu yang macam terompah kayu dan ‘rice cooker’, kita tidak mahu ulama kita duduk sahaja, pemimpin mesti dipandu, kalau pemimpin baik rakyat juga akan baik,” katanya Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti anjuran hari ini.
Terompah kayu merujuk kepada selipar yang digunakan untuk ke tandas.
“Pakai (terompah kayu) bila nak pergi tandas sahaja,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim, PAS mengangkat martabat ulama dan meletakkan ia di kedudukan yang tinggi dalam parti selain turut mengiktiraf kepimpinan golongan itu.
“Ulama ada individu untuk menyampaikan ilmu, jangan khianat... dalam PAS kita letakkan ulama di dua peringkat iaitu Majlis Syura dan Dewan Ulama PAS, mana-mana keputusan termasuk soal calon kita putuskan dalam Majlis Syura manakala Dewan Ulama PAS pula menyelesaikan isu-isu yang berbangkit mengikut hukum Islam.
“PAS berpandukan Majlis Syura dan presiden kita (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) duduk dalam Majlis Syura selain dibantu oleh Dewan Ulama PAS,” katanya.
Jelas beliau, keputusan yang dibuat berdasarkan hukum Islam walaupun terpaksa berdepan dengan risiko hilang sokongan.
“Siapa yang nak pandu pemimpin jika bukan ulama. Ulama mesti memandu politik tapi macam mana nak pandu kalau kita tiada pengiktirafan dan kita dalam PAS mengikut syarak walaupun dari segi politik kita rugi, tapi apakah kita nak tanggung dosa.
“Sebab itu bagi saya adalah pengiktirafan, ulama bukan orang yang berkepentingan, bukan nak kerusi tapi kalau kita lihat ulama telah buat banyak fatwa tapi tidak dihargai,” katanya.
Turut menjadi panel wacana Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahya.
Fathul Bari berkata Umno perlu memberikan ruang ulama untuk memainkan peranan selain memerlukan sokongan banyak pihak.
“Umno tidak wujud satu badan untuk bawa ulama dalam parti, cuma yang ada adalah biro agama... itu sahaja ada untuk menggerakkan program-program agama, mungkin kita perlukan masa dan tempoh di mana kita dapat membawa ke arah kebaikan.
“Dari segi nasihat kita akan terus sampaikan secara berterusan, kalau diberi ruang kita boleh lakukan,” katanya yang menyertai Umno tahun lalu.
Sementara itu, Harussani berkata golongan ulama boleh menyertai mana-mana parti politik tetapi yang penting ia perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.
“Saya tidak sokong mana-mana kerana parti hanya menimbulkan perpecahan, kalau saya pergi ke program PAS orang kata saya mufti PAS, bila saya pergi ke Umno kata saya mufti Umno pula.
“Saya sudah berkecimpung dalam masyarakat sudah lama dan kena tuduh macam-macam, ada kat saya Umno... ada kata saya PAS,” katanya.
Jelas beliau, ulama sepatutnya membawa umat Islam dekat dengan Islam bukan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.
“Saya tengok gelar-menggelar adalah satu perkara yang haram tapi saya tengok ramai ulama dalam tazkirah kutuk orang lain, ulama patut bawa orang dekat dengan Islam.
“Kalau kutuk-mengutuk itu bukan ulama tapi syaitan,” katanya.

No comments:

Post a Comment