Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Friday 19 August 2011

JK Parlimen: Pakatan tidak diajak berunding

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta Pakatan Rakyat tidak berprasangka buruk terhadap komitmen kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Beliau berkata, kenyataan itu hanyalah untuk menutup kesilapan mereka tidak memanggil Pakatan Rakyat untuk berunding sebelum penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan.

"Perkara yang paling penting untuk diingatkan ialah kita (Pakatan Rakyat) langsung tidak dirundingkan dalam penubuhan Jawatankuaasa Khas Terpilih Parlimen ini dan kita rasa bahawa kita mungkin boleh bersetuju dan mungkin tidak bersetuju untuk menyertai jawatankuasa khas ini.



"Macammana mereka kata kita bersangka buruk sedangkan kita bersedia untuk bekerjasama dan menyertai jawatankuasa Parlimen ini jika kita dipanggil untuk merundingkan perkara ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Muhyiddin semalam meminta Pakatan Rakyat menggunakan kesempatan berkenaan sebagai medium untuk mengemukakan sebarang isu yang dibangkitkan sebelum ini bagi menambah baik sistem sedia ada.

Namun sambil menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai 'penghias jendela' sahaja, Salahuddin juga berkata, jawatankuasa tersebut tidak mungkin mencapai matlamat iaitu melakukan perubahan dalam sistem pilihan raya sekiranya ia dibincangkan satu hala sahaja dan pengerusinya akan terdiri daripada pihak kerajaan sendiri.

"Apabila mereka hanya menggunakan pendekatan sehala sahaja tanpa berunding tentang penubuhan ini, apa maknanya pembaharuan pilihan raya yang mereka nak buat sedangkan tidak mungkin jawatankuasa ini akan mencapai matlamat sekiranya pengerusinya sudah pasti seorang menteri dan mereka majoriti dalam jawatankuasa ini.

"Ini hanya penghias jendela sahaja dan ini membuktikan kerajaan tidak serius menangani isu yang kita tuntut dan jawatankuasa ini sekadar melepaskan batuk di tangga dan untuk mengalih pandangan daripada isu sebenar," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bincang sertai atau tidak

Sehubungan itu beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan samaada akan menerima atau menolak jawatankuasa tersebut.

"Pakatan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan bersetuju atau tidak untuk menyertai jawatankuasa ini.

"Tapi kalau beginilah caranya kita kecewa dengan kerajaan," katanya.

Kabinet semalam memutuskan Jawatankuasa Pemilih Parlimen akan dianggotai sembilan ahli Parlimen.

Mereka terdiri daripada lima wakil BN, tiga Pakatan Rakyat dan seorang ahli Parlimen Bebas.

Usul bagi penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Oktober ini.

No comments:

Post a Comment