Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Friday 19 August 2011

JK Khas Parlimen: PAS buat cadangan balas

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) membuat cadangan balas agar Jawatankuasa Khas Pilihanraya dibentuk bagi mengkaji sistem pilihan raya negara agar ia diterima dan diyakini oleh rakyat.

Cadangan ini dibuat beliau untuk memberikan keyakinan kepada rakyat berbanding Jawatankuasa Khas Parlimen yang dicadangkan oleh kerajaan sekarang untuk membaikpulih sistem pilihanraya yang ada yang dianggap tidak bersih dan adil.

“Bayangkan lebih separuh daripada anggota dan ketua jawatankuasa ini terdiri daripada manusia-manusia yang merasakan sistem pilihanraya negara ini selama 54 tahun yang lepas adalah bersih, adil dan bebas, apa yang boleh rakyat harapkan daripada jawatankuasa khas ini?”

Tuan Ibrahim membuat cadangan ini sebagai reaksi  terhadap pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihanraya akan diketuai oleh seorang menteri, lima ahli parlimen BN, tiga dari PR dan seorang ahli bebas.



Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa tidak dinafikan rata-rata rakyat harapkan jawatankuasa ini akan berjaya mengemukakan satu cadangan konkrit bagi membentuk satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil, tapi sebelum itu jawatankuasa ini mestilah ditubuhkan secara seimbang dan adil supaya tidak didominasi mana-mana pihak, pihak pemerintah mahupun pembangkang.

“Tanpa penglibatan secara terus Bersih 2.0, ia berupa penghinaan terbaru Nazri terhadap Bersih 2.0, apabila beliau menyoal secara angkuh, “Siapa Bersih?” – susah untuk rakyat untuk menerima bahawa penubuhan jawatankuasa ini sebagai satu tindakan ikhlas daripada Barisan Nasional untuk memulihkan semula sistem pilihanraya negara yang tempang ini

"Sebab itulah, satu perubahan terhadap penubuhan jawatankuasa khas parlimen ini harus dibuat agar semua pihak boleh berpuas hati dengan keputusan kajiannya nanti,” kata beliau.

Oleh sedemikian, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mencadangkan agar jawatankuasa khas parlimen ini diubah dan dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya bagi memberi ruang keanggotaannya lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.

“Dicadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini bukanlah berbentuk jawatankuasa khas parlimen, kerana dalam bentuk ini, ianya akan menyekat keanggotaan pihak lain, seperti Bersih 2.0 dan rakyat biasa yang juga penting dalam proses pembaikan ini,” terang beliau.

Dengan melebarkan sayap jawatankuasa ini, kata beliau, maka keanggotaannya lebih terbuka  bukan hanya kepada parti- parti politik bahkan ianya boleh disertai bersama oleh badan-badan NGO, Majlis Peguam, dan beberapa individu yang mewakili rakyat biasa yang difikirkan sesuai dan layak.

“Perkara yang paling penting dalam penubuhan jawatankuasa khas ini ialah badan ini mestilah diyakini mampu membuat perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil. Sekiranya ia gagal meyakinkan masyarakat, maka ianya tiada makna ditubuhkan jawatankuasa sedemikian,” tegas beliau.

Di samping itu, Tuan Ibrahim juga mencadangkan agar keanggotaan jawatankuasa ini dirombak menjadi 12 orang, dengan 3 ahli parti pemerintah, 3 ahli daripada pembangkang, 3 ahli NGO, satu wakil SPR dan satu wakil JPN dan pengerusi yang dilantik oleh jawatankuasa terbabit mestilah seseorang yang diterima baik dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai seorang yang adil dan tegas dalam isu reformasi pilihanraya, seperti wakil dari Bersih 2.0 dan juga Suhakam.

“Jawatankuasa ini mestilah diberi tempoh segera, sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan bagi menyiapkan cadangan untuk dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen. Fokus utama jawatankuasa ini ialah mewujudkan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di negara ini,” tambah beliau.

Menyatakan bahawa kredibiliti SPR dan JPN kini berada pada tahap yang amat meragukan dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sebagai menghormati hak pengundi-pengundi yang berdaulat, Tuan Ibrahim berkata sepatutnya pilihanraya umum tidak perlu dilaksanakan selagi penambahbaikan sistem pilihanraya ini belum dipulihkan.

No comments:

Post a Comment