Galeri kami

blog 'tak aktif', tapi facebook terus aktif (hehe)

Twitter Updates

There was an error in this gadget

Wednesday, 6 July 2011

Bersih: Hishammuddin canggah Najib


Rizal Tahir   
KOTA BHARU, 6 Julai: Kelmarin Perdana Menteri kata kerajaan sanggup sediakan stadium untuk Bersih 2.0 berkumpul, Ahad lalu Yang di-Pertuan Agong menitahkan kerajaan melaksana segala amanah secara adil dan bijaksana.
Anehnya hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilapor berkata, tangkapan ke atas aktiviti berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 akan berjalan seperti biasa.
Persoalannya siapa lebih berkuasa di antara Menteri Dalam Negeri (KDN) atau Perdana Menteri.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri tidak memperlihatkan semangat seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

”Pemuda PAS menjunjung kasih di atas titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ampuni perkenan menerima mengadap wakil Bersih 2.0 semalam.
”Jelas perjuangan Bersih sudah mendapat perhatian sewajarnya ketua tertinggi negara. Oleh itu Perdana Menteri yang menjalankan tugas bagi pihak tuanku perlu menterjemahkan titah baginda secara adil,” katanya di sini.
Semalam Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga diterima mengadap ekoran kenyataan Yang di-Pertuan Agong menitahkan hendaklah dipastikan tuntutan demontrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.
Sehari selepas itu Datuk Seri Najib Razak pula menyatakan kerajaan sanggup menyediakan stadium untuk Bersih 2.0 berkumpul daripada pagi sehingga malam.
Namun hari ini Menteri Dalam Negeri pula menegaskan tangkapan ke atas aktiviti berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 akan diteruskan.
Abdul Latif berkata, janji Perdana Menteri bersedia membenarkan himpunan Bersih diadakan di stadium perlu dilaksanakan tanpa berdolak dalih lagi.
Katanya, jangan pula meletakkan sebarang syarat bagi menggagalkan himpunan itu kerana ia dianggap boleh menimbul rasa tidak senang di kalangan peserta Bersih 2.0.
”Pemuda PAS juga menggesa pihak berkuasa membebaskan segera semua tahanan Bersih dan menggugurkan dakwaan terhadap mereka sebagai merealisasikan persafahaman yang telah dicapai.
”Kami juga berharap tiada lagi sebarang bentuk provokasi dan penahanan baru hanya kerana memakai baju kuning.
”Pihak keselamatan juga tidak wajar lagi membuat sekatan jalanraya sehingga menghalang peserta Bersih hadir pada perhimpunan di stadium 9 Julai ini,” ujarnya.
Menurutnya yang juga Adun Mengkebang sewajarnya titah Tuanku diambil perhatian serius kerajaan khasnya Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan pilihan raya umum  ke-13 lebih bersih, adil dan telus.
Ikat jamin RM4,000
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan seorang peniaga, Zakaria Cik Wail, yang ditahan ketika menjual kemeja T di Dataran Ilmu Jumaat lalu hari ini dibebas dengan ikat jamin sebanyak RM4,000.
Sebutan kesnya akan dibuat pada 9 Ogos depan di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Bagaimanapun pihak pendakwa menukar pertuduhan ke atas Zakaria daripada Seksyen 4 (1) (c) tuduhan menghasut kepada Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana menjual barangan pertubuhan haram (Bersih).
Beliau dibawa ke mahkamah di sini pagi tadi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. Turut berada di mahkamah anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri dan ahli keluarga Zakaria.
Kelmarin seorang lagi pemuda, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin didakwa di Mahkamah Majistret Bachok atas tuduhan serupa.
Pada Ahad lalu beliau ditahan kerana mempamerkan sehelai Baju Bersih 2.0 di sebuah kedai di Permatang Piah, Mahligai. Anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok itu juga diikat jamin RM4,000.

No comments:

Post a Comment