KUALA LUMPUR, 11 Sept: Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mencabar pemimpin Umno, khususnya Pemuda
Umno untuk menyatakan pendirian mereka terhadap dakwaan Prof. Zainal
Kling daripada Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa “Tanah Melayu tidak
pernah terjajah, sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh
British”.
Ketua
DPPM Nasrudin Hassan at-Tantawi berpendapat bahawa kenyataan yang
dikeluarkan oleh Prof Zainal Kling tersebut tidak mewakili pendirian
seluruh cendekiawan dan ahli akademik tanahair dan ianya perlu disokong
oleh fakta dan perbahasan secara ilmiah, khususnya dalam persoalan
berkaitan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hubung kait di antara konsep
naungan (protectorate), lindungan (protected), kedaulatan (sovereignity)
dan kemerdekaan (independence).
“DPPM
melihat kenyataan tersebut bukan sahaja membuka ruang perbahasan
akademik dan penilaian semua teks sejarah, malah mempunyai implikasi
yang lebih besar terhadap status empayar kerajaan British dan
negara-negara Komanwel di seluruh dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Di
samping itu, katanya kenyataan tersebut turut mengundang begitu banyak
persoalan sinis dan gurauan di kalangan generasi muda yang popular
dengan lagu “Merdeka” oleh Allahyarham Sudirman dan laungan “Merdeka”
oleh Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman.
Tambahnya,
DPPM berpendirian bahawa British dan sekutunya telah menjajah secara
hakiki Tanah Melayu dan bebarapa lagi negara sepanjang tempoh zaman
imperialisme dan kolonisme.
Ini,
ujarnya berdasarkan nilai kemerdekaan sebenar, yang terletak pada nilai
kebebasan manusia daripada penyembahan sesama manusia.
Ini,
jelasnya sebagaimana ungkapan masyhur seorang sahabat Rasulullah s.a.w.
yang bernama Rabi’e bin Amir ketika dipanggil mengadap Panglima Parsi,
Rustum, dengan pertanyaan “Atas sebab apakah kamu ke sini?”, lantas
dijawab, “Allah yang menghantar kami. Dia membawa kami ke sini untuk
membebaskan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada hanya
menyembah Allah yang Esa, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia
kepada keluasan dunia dan akhirat, dan membebaskan manusia daripada
kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dialah yang menghantarkan
kepada kami agamaNya yang diciptaNya, untuk menyeru manusia-manusia
kepadaNya”.
Katanya,
kenyataan Prof. Zainal seperti memperbodohkan negara, pemimpin dan
seluruh rakyatnya yang saban tahun menyambut ulangtahun kemerdekaan.
“Jika
negara tidak pernah dijajah sebagaimana yang didakwa, maka untuk apa
Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan,” katanya.
Soalnya,
bagaimana pula kedudukan silibus pengajian pelajar-pelajar kita di
sekolah dari semua peringkat yang mula keliru dengan perbahasan sejarah
negara hari ini.
Justeru,
ujarnya DPPM amat kesal dengan sikap Umno dan Pergerakan Pemuda Umno
yang berdiam diri dalam persoalan ini dan ternanti-nanti pengisian
program Pentas Patriot yang akan dianjurkan oleh pihak Pergerakan Pemuda
Umno untuk mengenang jasa tokoh kemerdekaan negara.
|
No comments:
Post a Comment